Program ini ditubuhkan bagi membantu golongan miskin yang menetap di bandar bagi menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Berikut adalah maklumat lengkap mengenai program bantuan baucar kerja dan langkah untuk mengemukakan permohonan.
Syarat Kelayakan Program Baucar Kerja 2014 Online
- Individu berpendapatan bawah RM 3,000
- Menetap dikawasan bandar
- Golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, orang asli dan pelajar keciciran.
- Golongan tidak bekerja
- Golongan miskin yang tersenarai dibawah pangkalan data keluarga miskin menerusi laman e-kasih
Cara Permohonan Bantuan Baucar Kerja RM35 Sehari Online
1. Individu yang layak perlu tersenarai dalam golongan miskin menerusi pangkalan data laman e-kasih. Laman E-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.
2. Bagi yang layak, sila laporkan kemiskinan menerusi laman Borang Ekasih Kebajikan Masyarakat
3. Semakan nama yang tersenarai dalam keluarga golongan miskin boleh disemak menerusi https://ekasih.icu.gov.my/Semakan/Pages/CarianAwam.aspx
Cara Manual Pendaftaran Bantuan Baucar Kerja RM35 Sehari
1. Individu yang ingin mendaftar ekasih boleh merujuk kepada Pejabat Daerah atau Jabatan Pembangunan Persekutuan/Pejabat Pembangunan Persekutuan (JPP/PPPN), Focus Group Negeri atau Focus Group Daerah.
2. Bagi agensi di peringkat negeri, ID pendaftaran eKasih boleh dipohon melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan/Pejabat Pembangunan Negeri (JPP/PPPN), manakala agensi diperingkat persekutuan, boleh memohon terus dengan Ibu Pejabat ICU JPM.
Keputusan Permohonan Bantuan Baucar Kerja RM35 Sehari
Individu yang layak akan dihubungi secara terus oleh pihak Kementerian Sumber Manusia.
Kriteria Pemilihan Bantuan Baucar Kerja
- Khusus bagi individu yang tersenarai dibawah golongan miskin bandar
- Mempunyai maklumat data kemiskinan menerusi portal ekasih (Jabatan Kebajikan Masyarakat)
- Hanya yang benar-benar layak sahaja terpilih
Tarikh Pelancaran Program Baucar Kerja 2014
Program Baucar Kerja 2014 akan dilancarkan mulai April 2014
Definisi Ekasih
Merupakan Bank Data Kemiskinan Nasional. Ia dibangunkan khusus bagi memudahkan agensi-agensi pemberi bantuan untuk mengenalpasti mereka yang betul- betul layak untuk menerima bantuan berdasarkan kepada syarat dan kriteria bantuan masing-masing.
CYBERJAYA - Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar, layak mendapat bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia.
Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia akan menyaksikan penglibatan seramai 100 peserta yang tergolong di bawah tahap miskin bandar.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata, bantuan tambahan tersebut dijangka dapat membantu golongan ini dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
"Namun, bantuan itu tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Mereka harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan tersebut," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
"Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dahulu, dan kita akan menyumbang sebanyak RM35 sehari.
"Jumlah tersebut boleh dituntut setiap hari atau pun pada setiap hujung bulan, bergantung kepada keperluan individu tersebut," katanya.
Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dan individu yang tidak bekerja.
Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, Orang Asli dan pelajar keciciran.
JobsMalaysia akan memastikan pemilihan peserta dilakukan secara teliti berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk dari pangkalan e-kasih.
e-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.
Individu yang layak akan dihubungi secara terus, kata Yusuff.
Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.
Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa yang sama, JobsMalaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah untuk berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan kerja sambilan.
"Bagaimanapun ia tertakluk kepada akta-akta pekerjaan dan buruh yang berkaitan," katanya. - Bernama